Harap jadi bintang utama, Wani Kayrie sajikan ‘Jangan Terlepas Pandang’

PENYANYI, pelakon serta pengacara muda berbakat besar Wani Kayrie telah berkecimpung dalam industri seni tanah air sedekad lamanya. Penghujung tahun 2021 pula bertambah manis apabila Wani Kayrie tampil dengan single terbharunya berjudul ‘Jangan Terlepas Pandang’ hasil ciptaan komposer terkenal negara, MFMF dan Asyraf Nasir.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah yang pernah mengharumkan nama negara sewaktu bertanding di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat dengan memenangi 1 pingat emas, 2 pingat perak, 1 pingat gangsa serta Hollywood Industry Award, sememangnya seorang penyanyi yang kental dan tidak kenal erti kalah.

“Akhirnya penantian menghasilkan single baharu tercapai jua. Syukur dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekaligus tampil dengan lagu baru.

“Mungkin masih ramai di luar sana yang kurang mengenali nama Wani Kayrie, namun sebagai anak seni itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.

“Jangan Terlepas Pandang adalah suara hati saya. Setelah lebih dari 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tanah air, saya lebih matang dalam berpendirian. Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” katanya kepada The News.

Wani Kayrie tampil dengan single baharu berjudul Jangan Terlepas Pandang.

Single bergenre pop dansa ini adalah gabungan idea kreatif di antara komposer MFMF dan juga Asyraf Nasir yang mahukan kelainan buat Wani agar keluar dari zon selesanya dan tampil dengan sesuatu yang baharu.

Pemenang tempat keempat pertandingan realiti TV Big Stage 2018 serta Dansa Dan Sing 2020 yang mengidolakan penyanyi antarabangsa seperti Beyonce, Jessie dan Agnez Mo ini percaya bahawa sebagai penyanyi wanita seseorang perlu ada sifat kendiri dan semangat juang seperti yang ditonjolkan oleh penyanyi-penyanyi hebat ini.

“Saya kagum dengan mereka dan menjadikan mereka sebagai inspirasi saya kerana semangat women’s empowerment yang dipamerkan setiap kali beraksi di pentas. Mereka buka sahaja penyanyi bahkan penghibur serba boleh dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali membuat persembahan dengan idea di luar kotak.

“Ibu saya iaitu Mama Kay merupakan pendorong utama dalam kerjaya seni saya. Saya kagum dengan semangat mama sebagai seorang wanita yang cekal kerana terlalu banyak pengorbanan yang telah mama lakukan demi kerjaya saya,” tambahnya.