Langgar lampu isyarat, penghantar makanan dirempuh kenderaan

SEORANG penghantar makanan cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan akibat melanggar lampu isyarat dalam kejadian di Jalan SS/24, Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mangsa berusia 51 tahun didapati keluar daripada simpang sebelum dirempuh sebuah kenderaan.

“Mangsa merupakan penunggang Grab lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dipercayai telah keluar simpang di jalan ss2/55 dilanggar oleh kenderaan jenis Proton Wira yang lampu isyarat berwarna hijau di jalan ss2/24.

“Akibat daripada itu mangsa mengalami kecederaan luka di pinggang dan di tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku pada jam 4.30 petang sebaik sahaja aduan diterima pihak polis trafik pada hari berkenaan.

Justeru, polis sedang mendapatkan beberapa saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, beberapa kemalangan sama turut berlaku melibatkan kumpulan penghantar makanan yang dikatakan sering mengundang risiko di jalan raya.