Sebahagian Laluan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ditutup Mulai Selasa

Sebahagian laluan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan ditutup dari KM12.5 sehingga KM18.5 bermula Selasa hingga Khamis ini bagi kerja-kerja pemeriksaan kabel.

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) memaklumkan penutupan itu bermula 9 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari dan laluan kontra akan diaktifkan sepanjang penutupan kawasan berkenaan.

“Penutupan sementara itu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemeriksaan kabel di rentang utama dan akan beroperasi seperti biasa selepas tamat pemeriksaan tersebut,” menurut hantaran di Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, JKSB menasihati orang ramai supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang diberikan serta pihaknya mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna lebuh raya.

Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1-300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

Sumber : BERNAMA