PDRM bakal guna BMW, Volkswagen Tiguan?

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih dalam perbincangan bagi proses pembelian kenderaan jenis BMW M3 dan Volkswagen Tiguan bagi kegunaan badan penguatkuasa itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Bukit Aman masih dalam fasa melakukan pandu uji melibatkan kesemua kenderaan tersebut.

“PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa apa-apa perjanjian.

“Tujuannya adalah untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” katanya hari ini.

Kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi.

Acryl Sani berkata demikian susulan tular beberapa gambar unit kenderaan jenama itu yang telah lengkap bersama logo PDRM.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali menyatakan kenderaan tersebut akan digunakan Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan cawangan pengiring.

Beliau dalam masa sama menyedari akan faktor kewangan kerajaan terutamanya sewaktu berdepan pandemik COVID-19.

Setakat ini, tawaran yang dibuat oleh syarikat kenderaan tersebut hanyalah melibatkan tawaran sebagai pandu uji.