Dah boleh balik kampung?

FOTO: Bernama

BERITA baik buat rakyat Malaysia apabila kerajaan memberi gambaran berhubung kebenaran rentas negeri dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bakal diumum secara serentak bagi seluruh negara.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ia berikutan kadar vaksinasi populasi dewasa yang kini telah mencapai 80 peratus manakala individu berusia 18 tahun ke atas telah mencapai tahap 90 peratus.

“Tunggu saya akan umumkan. Tetapi dah tak lama dan akan dibuat serentak seluruh negara. Dulu kita nak beri kebenaran apabila kadar vaksinasi mencecah 80 peratus, tapi ada lagi negeri yang masih rendah. Kalau buka seluruh negara mungkin beri kesan tidak baik di negeri terbabit.

“Jika kebenaran diberi pada kadar 90 peratus, kita jangka rata-rata negeri telah mencapai peratusan tertinggi vaksinasi,” katanya selepas menghadiri majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, hari ini.

Setakat ini, tahap vaksinasi populasi dewasa di negara secara keseluruhannya telah berada pada tahap 89.1 peratus.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan kebenaran rentas negeri akan diumumkan sebaik sahaja negara mencapai tahap 90 peratus vaksinasi dewasa.