Maktab Mahmud Nafi Wujud Kartel Politik, Ambil Tindakan Undang-undang Pihak Sebar Video

Lembaga Maktab Mahmud menafikan dakwaan terdapat kartel politik dalam organisasi itu seperti yang tular di media sosial.

Menurut pengerusinya, Mohd Azam Abd Samat menegaskan penularan video beberapa platfom media sosial sejak 25 April 2024 yang lalu, berkenaan dua video bertajuk “Kartel politik Maktab Mahmud Sakau Projek Belasan Juta?” dan “Lembaga Maktab Mahmud Problem”, adalah tidak benar sama sekali.

Laporan polis juga telah dibuat pihak Maktab Mahmud pada 28 April. Menurut kenyataan itu lagi, tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang telah memuat naik dan menyebar video tersebut.

“Untuk makluman, tiada kewujudan kartel politik seperti yang ditularkan dalam video pertama dan isu pertukaran kakitangan yang dibuat oleh pihak pengurusan Lembaga Maktab Mahmud adalah demi kepentingan jabatan.

“Selain itu, pihak Lembaga Maktab Mahmud menafikan tuduhan berkaitan kes SPRM yang dinyatakan di dalam video tersebut.

“Manakala, video kedua berkaitan isu pertengkaran antara kakitangan Lembaga Maktab Mahmud yang telah tular sejak 26 April 2024 yang lalu merupakan video lama, yang berlaku pada 05 Oktober 2023 telah tular pada tahun lepas di mana pihak pengurusan Lembaga Maktab Mahmud telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Video yang ditularkan semula itu telah disunting dan diubah suai daripada video sebenar serta tiada kakitangan yang diturunkan pangkat seperti yang dinyatakan.” jelas beliau.