Rentas negeri, anggaran 1.3 juta kenderaan sehari – PLUS

KEBENARAN rentas negeri yang bakal diumumkan kelak dijangkakan bakal menerima sejumlah 1.3 juta kenderaan dalm tempoh sehari.

Menurut kenyataan PLUS, pihaknya menjangkakan sebahagian besar pergerakan akan melibatkan penduduk di sekitar Lembah Klang serta negeri-negeri lain yang bakal merebut peluang berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pihaknya sedia bagi pembukaan melibatkan kesemua laluan antara negeri melibatkan jumlah kenderaan yang tinggi.

“Lebuhraya PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan bersedia untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama pihaknya mengingatkan orang ramai agar tahap pematuhan SOP dapat dipatuhi khususnya ketika berada di kawasan RNR serta faktor keselamatan di jalan raya.

Selain itu, kerjasama dengan Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama kakitangan PLUS di sepanjang 1,130 km itu dapat meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya tersebut.