Search bakal adakan konsert “Unplugged Search” sempena 40 tahun dalam industri September ini

KEJAYAAN persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim di Melaka pada 10 April lalu memberi ruang dan peluang buat band legenda itu kembali ‘bernyawa’.

Bagi meneruskan legasi kegemilangan empat dekad Search, kali ini mereka bakal mengadakan konsert Unplugged Search 40 Years pada September akan datang bagi mengubat kerinduan peminat.

Apa yang menarik, konsert itu akan diberi aura kepada Search kerana bakal menampilkan penyanyi hebat, Akim Ahmad selaku vokalis di samping dua anggota Search iaitu Kid dan Din.

Penganjur konsert, Aman Nassim menerusi COF Music berkata, pembaharuan yang ditampilkan pada konsert itu nanti memberikan satu lagi transisi berbeza Search agar terus gemilang dalam industri muzik tempatan.

“Konsert ini saya bekerjasama dengan Search. Bagi saya, mereka adalah band legenda yang perlu dihidupkan sampai bila-bila. Disebabkan itu, saya merancang untuk membawakan konsert istimewa ini. Malah, untuk mencari band yang bertahan sehingga empat dekad adalah susah.

Di samping ingin perkenalkan lagu hits kepada generasi muda, tujuannya menganjurkan konsert ini juga adalah untuk perkenal beberapa lagu Search lain yang juga terkenal.

Aman berkata, konsert yang dirancang itu dijangka berlangsung di lokasi yang mampu menempatkan 300 hingga 500 penonton mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu, Aman juga menjelaskan COF Music mempunyai perancangan yang lebih besar buat Search pada masa akan datang dan jika berpeluang dia ingin membawa konsert Search ke Indonesia dan Singapura kerana mereka mempunyai kelompok peminat yang besar di dua negara itu.