Bekas pemain badminton keluar kenyataan rasis buat permohonan maaf, jelas sekadar kongsi pendapat

BEKAS pemain badminton negara, Bong Guang Yik membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikecam hebat apabila mengeluarkan kenyataan berbaur rasis di media sosial.

Guang Ying bagaimanapun menjelaskan dia sekadar ingin berkongsi pendapatnya mengenai perkembangan badminton di Malaysia namun mengakui kesilapannya melangkaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama.

“Saya mohon maaf kerana terlanjur kata. Saya cuma merasakan bahawa sukan badminton di Malaysia boleh dipertingkatkan lagi jika pengurusan sukan itu diperbaiki.” katanya menerusi satu video yang dikongsikan semalam.

Dia yang merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 menimbulkan rasa kurang senang masyarakat dengan mengeluarkan kata-kata yang dianggap menghina pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang beragama Islam.

Di dalam video TikTok tersebut, Guang Yik juga meluahkan rasa tidak puas hatinya tentang cara pengurusan BAM yang didakwa semakin lemah.

Terdahulu, pemain hoki kebangsaan, Hanis Nadiah Onn telah digantung oleh federasi Hoki Malaysia (MHC) minggu lalu daripada mewakili pasukan negara ke mana-mana pertandingan antarabangsa termasuk temasya Sukan Sea Kemboja 2023. Tindakan ini dikenakan terhadapnya selepas Hanis membuat satu kenyataan yang juga berbaur rasis baru-baru ini.

Sumber gambar – Facebook | Sumber laporan – Sinar Harian