Awas! Dua produk kosmetik mengandungi merkuri merbahaya kepada pengguna!

DUA produk kosmetik telah dihentikan penjualannya di dalam Malaysia oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) kerana didapati mengandungi bahan terlarang yang berbahaya.

Kedua dua produk kosmetik yang dinamakan Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream itu dibatalkan penjualannya oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM kerana didapati mengandungi bahan racun Merkuri.

Mengulas tentang kandungan bahan terlarang berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Buletin TV3 bahawa Merkuri adalah sejenis bahan racun berjadual yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

“Merkuri  boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” ujar beliau lagi.

Justeru itu, Dr Noor Hisham meminta penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu dihentikan serta merta. Selain menegaskan bahawa tindakan keras berbentuk hukuman denda atau penjara akan dikenakan kepada individu atau syarikat yang didapati bersalah mengedar atau menjual produk yang mengandungi bahan terlarang seperti Merkuri.

Beliau juga memberi nasihat dan amaran untuk orang awam yang masih menggunakan produk tersebut supaya segera berhenti menggunakannya. Selain menyarankan agar sesiapa yang mengalami kesan sampingan selepas menggunakan produk tersebut supaya mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.

Orang awam juga dinasihatkan untuk membaca dengan teliti isi kandungan apa apa produk terutamanya produk kosmetik yang ingin digunakan.

Sumber gambar – KKM | Sumber laporan – Buletin TV3