Lembah Sireh, Tempat Berbuka Sambil Layan ‘Sunset’ Di Kota Bahru

    Kawasan Lembah Sireh yang bersebelahan Sungai Kelantan di Kota Bahru, menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan.

    Seawal jam 5 petang, orang ramai mula membanjiri kawasan lapang tersebut untuk mendapatkan tempat yang sesuai bagi menikmati juadah dengan pemandangan ‘sunset’ di Sungai Kelantan.

    Maka, tidak hairanlah setiap hari hampir 1,000 pengunjung yang mengambil peluang untuk berbuka puasa di lokasi berkenaan termasuk pengunjung dari luar Kelantan.

    Pengunjung, Mohd Fazlihisham Baharuddin, 33, yang pertama kali mengunjungi lokasi berkenaan menyifatkan tempat terbabit begitu menarik untuk lokasi berbuka puasa.

    “Saya datang dari Jerteh, Terengganu untuk membeli belah Aidilfitri di Kota Bharu. Ketika berada di jambatan sekitar lokasi ini, saya melihat kawasan di sini begitu menarik untuk berbuka dengan pemandangan yang tenang pada waktu petang selain dapat melihat matahari terbenam.

    “Saya yang datang dengan ahli keluarga seramai 14 orang kemudian membuat keputusan untuk berbuka di sini bagi mencari kelainan.

    “Tempat ini sangat menarik dengan kawasan lapang di tepi Sungai Kelantan dan mungkin saya akan datang lagi di sini selepas ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

    Pengunjung, Nik Zulkarnain Nik Adnan, 39, dari Pengkalan Chepa pula berkata. dia lebih memilih untuk membawa anak-anak ke lokasi berkenaan untuk berbuka berbanding di kedai makan.

    “Hampir setiap kali Ramadan saya datang dengan isteri dan tiga anak ke sini. Saya suka dengan suasananya yang meriah dan anak-anak pun suka kerana mereka lebih bebas berbanding di kedai makan.

    “Kami akan membeli juadah di bazar Ramadan sebelum datang ke sini. Untuk berbuka di sini, perlu datang lebih awal bagi mendapatkan tempat yang elok sebelum ia sesak dengan pengunjung,” katanya.

    Pengunjung, Izzah Amirah Pauna, 19, yang juga pelajar kolej memaklumkan dia sudah lima kali berbuka puasa di lokasi berkenaan.

    “Tempat ini memang meriah dan menjadi tumpuan kerana pemandangan yang menarik. Setakat ini saya dan kawan-kawan sudah datang lima kali ke sini.

    “Bagi saya di sini lebih menarik berbanding kedai makan dan kami akan membeli juadah di bazar Ramadan.

    “Sekitar jam 5.30 petang saya dan kawan-kawan sudah datang ke sini dengan membawa tikar dan juadah berbuka,” katanya.

    Gambar : Nik Abdullah Nik Omar | Sumber : Harian Metro