Memandu Sambil Main ‘Phone’, Polis Minta Pemandu Bas Serah Diri

Polis meminta pemandu bas yang telah tular setelah dirakam memandu sambil menggunakan telefon supaya tampil menyerah diri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata bahawa tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut dikesan selepas video mengenainya dimuat naik di TikTok.

“Tindakan pemandu bas ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada penumpang bas tersebut tetapi kepada pengguna jalan raya lain.

“Kejadian itu dipercayai dirakam oleh salah seorang penumpang bas terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat nombor pendaftaran bas berkenaan, ia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh.

Tambahnya lagi, pemandu bas terbabit digesa supaya segera menyerah diri ke balai trafik daerah berhampiran atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian ini, boleh sama-sama menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Messenger atau emel terus ke protrafik_ba@rmp.gov.my,” ujarnya.

Gambar & Sumber : Harian Metro