Polis Menahan Empat Lelaki Terbabit Dengan Pergaduhan Di Stadium Perak

Gambar : Foto viral

Polis mengesahkan penahanan empat lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di Stadium Perak, di Ipoh, malam tadi ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada empat suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun yang ditahan itu positif dadah jenis TFC (ganja).

Yahaya berkata, kesemua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Kesemua tangkapan ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi permohonan tahanan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, polis turut menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat termasuk berupa gambar atau video mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 bagi bantu mengesan penyokong-penyokong lain yang terbabit dalam kekecohan itu.

Malam tadi, akhbar ini melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong ‘casual’ antara dua pasukan itu sewaktu aksi babak separuh masa pertama perlawanan.

Menerusi beberapa video insiden yang ditularkan, kejadian berlaku di tempat duduk penyokong apabila sekumpulan individu dipercayai penyokong pasukan tuan rumah menyerbu ke arah tempat duduk penyokong Selangor.

Bagaimanapun, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh pasukan keselamatan yang bertugas biarpun video turut mempaparkan sempat berlakunya aksi tumbuk-menumbuk antara kedua-dua kumpulan penyokong.

Sumber : Harian Metro