Remaja Lelaki 13 Tahun Mengaku Bakar Kucing Hidup-hidup

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku salah membakar seekor anak kucing hidup-hidup seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

 

Pesalah juvana tersebut membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Moahed Faiz di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

 

Mengikut pertuduhan, pesalah juvana yang juga merupakan anak tunggal bersama dua lagi individu yang masih bebas bertindak kejam dengan membakar seekor anak kucing di kawasan parkir sebuah blok di Pangsapuri Taman Sri Kenari pada jam 1.08 tengah hari 22 April lalu.

 

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon jaminan RM10,000 berikutan kesalahan itu membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.

Bagaimanapun, ibu kepada pesalah juvana tersebut yang berusia 30 tahun memohon agar ikat jamin dikurangkan memandangkan hanya berpendapatan RM 1,500 sebulan sebagai pekerja kilang serta berstatus ibu tunggal.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.