Surat Layang : Dakwaan Rasuah, Salah Guna Kuasa FAM Akan Buat Laporan Polis

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan mengenai isu kempimpinan dan pengurusan badan induk itu.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, surat layang yang diemelkan daripada pengirim yang tidak dikenali dan ianya menjadi tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar dan sengaja menyerang individu.

 

Memetik laporan Harian Metro, dakwaan yang terdapat di dalam surat laying tersebut sudah dibawa dalam mesyuarat Kongres Tahunan FAM Kali Ke-60 2024 di sini, hari ini dan semua ahli gabungan bersetuju agar satu laporan polis dibuat.

“FAM sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung surat layang itu kerana ia telah menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air dan antarabangsa.

“Selain itu, cuba mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan dari mana sumber asal e-mel surat layang itu.

“Jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 

Semalam, beberapa organisasi media arus perdana menerima emel daripada pengirim tidak dikenali yang membangkitkan isu berkaitan kepimpinan dan pengurusan FAM.

Dalam emel itu, pengirim mendakwa wujud elemen rasuah dan tatakelola yang tidak betul hingga memaksa ramai kakitangan FAM meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.

Sumber : Harian Metro / Astro Arena