Mesut Ozil mengumumkan persaraan dari bola sepak profesional

PEMAIN bola sepak terkenal, Mesut Ozil mengumumkan persaraan selepas kerjaya antarabangsa yang cemerlang dengan Jerman dan kelab seperti Real Madrid serta Arsenal.

Ozil, 34, yang pernah membantu Jerman muncul juara Piala Dunia di Brazil pada tahun 2014 sebelum meninggalkan kancah antarabangsa selepas Jerman tersingkir daripada kejohanan yang sama empat tahun kemudian di Rusia.

“Selepas membuat pertimbangan yang bernas, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak profesional,” kata pemain tengah itu, menurut laporan Harian Metro.

“Saya memperoleh keistimewaan sepanjang menjadi pemain bola sepak antarabangsa selama hampir 17 tahun dan sekarang saya berasa amat berterima kasih atas peluang itu.

“Tetapi dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini, selepas mengalami beberapa kecederaan, ia menjadi semakin jelas bahawa sudah tiba masanya untuk meninggalkan bola sepak,” tambah beliau lagi.

Ozil yang dilahirkan di bandar Gelsenkirchen di Jerman tetapi berketurunan Turki, telah beraksi di beberapa pentas terbesar bola sepak tetapi turut terbabit dalam politik antarabangsa dan tuduhan perkauman.

Sumber gambar – CNN | Sumber laporan – Harian Metro