Murid darjah tiga maut digilis treler, keluarga terkilan kehilangan anak perempuan sekelip mata

JENAZAH murid perempuan maut digilis treler semalam akan di bawa pulang ke Kampung Teluk Gong, Pelabuhan Klang, mengundang hiba apabila keluarga kehilangan anak dalam sekelip mata sahaja. 

Kemalangan tragis itu berlaku ketika pengasuh wanita yang juga jirannya dalam perjalanan mengambil arwah, Nurul Jannatun Assyifa dan adik lelakinya, pulang dari sekolah, di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong, semalam. 

Menurut laporan Harian Metro, bapa kanak-kanak malang itu, Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32,  itu reda dengan ketentuan ilahi atas kehilangan anak perempuannya, katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. 

Jelasnya, anak kedua dari tiga beradik itu tidak menunjukkan apa-apa petanda malah sempat bersalaman dengan anak-anak sebelum bergerak ke tempat kerja pada jam 6.30 pagi pada hari kejadian. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata mangsa yang meninggal dunia berusia sembilan tahun manakala adik lelakinya berusia tujuh tahun serta jiran wanita berusia 54 tahun itu cedera ringan.

Kedua-dua mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. Namun adik lelakinya, Alif Zahfran akan menjalani pembedahan di bahagian kepala akibat kecederaan yang dialami. 

Kejadian yang berlaku menjelang Ramadan menyebabkan mereka sekeluarga terkilan mengenangkan persiapan raya yang sudah dibuat untuk mengenakan busana tema hitam bersama-sama pada Aidilfitri yang bakal tiba pada bulan hadapan, tidak kesampaian. 

Sumber gambar – Mr Wan Cai Official | Sumber laporan – Harian Metro