Jurulatih bola sepak Indonesia, galakkan pemain tidak berpuasa

JURULATIH pasukan bola sepak Indonesia, Shin Tae Yong menggalakkan para pemainnya agar tidak berpuasa bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Burundi pada 25 dan 28 Mac ini.

Menurut jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu, saranan itu dibuat bagi memastikan kesemua anak buahnya dalam keadaan cergas dan aktif sebelum perlawanan berkenaan.

Menurut Harian Metro, Tae Yong menyatakan dirinya akan bertemu dengan pemimpin agama Indonesia dan juga pemain beragama Islam bagi membincangkan perkara ini dahulu. 

“Puasa memang agak sukar buat saya kerana pemain perlu makan pada waktu tertentu bagi mengekalkan kecergasan mereka. Jika tidak makan dan harus lari dan beraksi, maka itu agar sukar bagi pemain.

“Jadi saya harus berbincang dahulu dengan pemimpin agama dan pemain bagi membincangkan perkara ini supaya mereka boleh memberikan sepenuh fokus terhadap dua perlawanan yang akan dihadapi.

“Mungkin ada hari yang pemain tidak perlu puasa dan pemain boleh mengganti puasa yang ditinggal selepas bulan Ramadan. Kita akan membicarakan perkara ini dengan lebih lanjut,” kata Tae-yong.

Untuk rekod, Indonesia terpaksa mengadakan dua perlawanan menentang lawan sama selepas mereka menghadapi kesukaran mencari pasukan lawan pada jendela Fifa kali ini.

Sumber gambar – Detikcom | Sumber laporan – Harian Metro