Frank Bernhardt Ganti Moon Sik, Ketua Jurulatih Kelantan FC Baharu

Kelantan FC hari ini mengumumkan Frank Bernhardt dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan berkenaan yang baharu bagi menggantikan pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik.


Kelantan FC dalam kenyataan memaklumkan Bernhardt yang sebelum ini Pengarah Teknikal pasukan itu mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih bersama skuad Bawah 23 (B-23) negara dan UiTM FC.


“Semoga pelantikan ini dapat memacu dan membantu TRW Kelantan FC ke arah lebih baik,” menurut kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook Kelantan FC.

Pengendali dari Kiel, Jerman itu memiliki sijil kejurulatihan UEFA Pro daripada German Sport University di Cologne, selain pernah menjadi Pengarah Teknikal Estonia FA (2007-2012) dan
Azerbaijan FA (2014-2017).


Selasa lepas, Kelantan FC membuat kejutan apabila merehatkan Moon-sik dan melantik penolong ketua jurulatih Real Zambery Yahya sebagai pengendali interim, kurang satu jam sebelum aksi Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.


Kelantan FC kini di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul empat mata selepas hanya meraih satu kemenangan dan seri sekali dalam tujuh perlawanan.

Sumber gambar – Football Tribe | Sumber laporan – Bernama