Datuk Misbun Masih Laris

Foto : The Star

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek nyata masih ‘laku’ dalam pasaran biarpun telah berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia BAM.

Menerima beberapa tawaran menjadi jurulatih dari beberapa negara luar, Misbun memberitahu keterujaannya dalam sukan badminton masih menebal dan mahu melahirkan pemain nombor satu dunia yang keempat.

Jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui setakat ini telah menerima sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara untuk membimbing skuad senior pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan dengan lebih lanjut butiran mengenai tawaran tersebut.

Belum membuat keputusan, Misbun berkata masih perlu masa untuk memikirkan tawaran-tawaran yang diterimanya

Difahamkan Thailand dan Singapura antara yang menyatakan minat.

“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya. Apa yang mereka mahukan adalah sentuhan penyudah dan bagaimana capai kemenangan.

“Saya belum buat keputusan muktamad kerana ia turut bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya kemukakan. Buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini pada Ahad.

Andai berkelana ke negara luar kelak, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membawa adiknya yang juga bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai pembantunya.

Untuk rekod, Misbun sebelum ini pernah menghasilkan tiga pemain nombor satu dunia iaitu Wong Choong Hann, Roslin Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.

Selasa lepas, BAM mengesahkan Misbun secara rasmi meninggalkan badan induk sukan itu dan menganggap kemelut antara kedua-dua pihak telah selesai.

Misbun pada 9 Ogos lepas, dilaporkan sudah menghantar surat jawapan berhubung tawaran diberikan BAM, dalam usaha memujuknya kembali susulan penamatan kontrak selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM, bulan lepas.

Sebelum ini, BAM menerusi Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam membuat keputusan menamatkan kontrak Misbun, berikutan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas.