Pengasuh Taska Dera Bayi Didenda RM40,000, Perintah Khidmat Masyarakat Atas Dua Pertuduhan

Foto: Astro Awani

JOHOR BAHRU, 15 Ogos- Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM40,000 ke atas seorang pengasuh wanita atas dua pertuduhan mengasari dua kanak-kanak di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Mei lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28 tahun mengaku bersalah dihadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa bertindak cuai dan dengan cara yang mungkin mendatangkan kecederaan fizikal kepada seorang bayi lelaki sembilan bulan, dan seorang bayi perempuan, 11 bulan.

Mengikut keputusan dibaca, Nurul Shahira dikenakan denda RM20,000 bagi setiap dua pertuduhan.

Jika denda gagal dibayar, pengasuh tersebut akan dikenakan hukuman lima bulan penjara.

Selain itu, wanita itu juga dikenakan bond kelakuan baik selama dua tahun, tidak bercagar, serta khidmat masyarakat selama seratus jam dalam tempoh enam bulan bermula pada tarikh sabitan.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Shaari dan Sharifah Natasha Syed Ahmad.

Mei lalu, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi di sebuah taska.

Video tersebut menunjukkan wanita itu memukul bayi yang sedang menangis dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.