10 Kenderaan Rosak, Bumbung Bangunan Runtuh Di Jalan Kuchai Lama

Foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk apabila struktur rasuk pada bumbung sebuah bangunan komersial lima tingkat di Jalan Kuchai Lama runtuh malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam membabitkan Blok A, Bangunan Sri Desa Kuchai di Kuchai Entreprenuers Park.

Bagaimanapun kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman Facebook oleh orang ramai menunjukkan kenderaan rosak akibat serpihan yang jatuh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, punca kejadian masih belum dikenal pasti.

“Sebaik dimaklumkan orang awam mengenai kejadian ini, pihak polis mengambil langkah mengepung dan menutup keseluruhan kawasan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami memohon orang ramai untuk menjauhi kawasan terbabit sementara menunggu pengesahan daripada pihak berwajib mengenai keselamatan bangunan,”katanya.

Tambahnya, pihak polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kejadian tersebut.