Kes Rabies Di Sarawak Meningkat, DVS Bakal Laksana Program Vaksin Besar-Besaran

Foto: New Straits Times

MIRI, 15 Ogos- Negeri Sarawak mencatatkan peningkatan kes rabies menyaksikan Kampung Narum di Marudi diisytihar sebagai kawasan terbaharu jangkitan penyakit itu selepas seekor anjing liar disahkan positif rabies di kampung itu pada 2 Ogos lepas.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menggesa agar sesiapa yang digigit haiwan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik.

“Tahun ini Sarawak merekodkan 13 kematian daripada 15 kes rabies mengikut Jabatan Kesihatan Sarawak. Sejak 2017 jumlah kumulatif rabies yang menjangkiti manusia kini berjumlah 70 dengan 63 kematian,” katanya.

Selaras dengan peningkatan itu beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak terutamanya di bahagian Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Satu vaksinasi besar-besaran akan diadakan di Tempat Letak Kereta Taman Awam Miri dari 9 pagi hingga 4 petang pada 19 dan 20 Ogos,” katanya.

DVS Sarawak dan Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah menetapkan sasaran 40,000 ekor anjing untuk divaksinasi di seluruh Sarawak tahun ini, dan sehingga kini 27,668 ekor anjing telah berjaya divaksinasi.

Tambah Dr Stephen Rundi, 392 sampel telah diuji, dan hasilnya 73 ekor anjing dan lima kucing didapati positif rabies.

Menurutnya, pemilik anjing yang gagal memberi vaksin kepada haiwan peliharaannya itu tanpa sebab munasabah bagi mematuhi Perintah Vaksinasi Anti-Rabies akan dianggap telah melakukan kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM1,000.

Sementara pemilik yang membiarkan anjing mereka berkeliaran di jalanan juga boleh didenda tidak melebihi RM2,500 di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, dan pihak berkuasa tempatan boleh merampas dan menahan mana-mana anjing yang dilepaskan tanpa pengawasan, selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.