Lelaki OKU Sindrom Down Melecur, Jiran Wanita Simbah Air Panas

Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) melecur di bahagian depan dan belakang badan apabila secara tiba-tiba disimbah air panas oleh jirannya ketika berada di dalam lif.

Rakaman CCTV kejadian tersebut menjadi tular di media sosial di mana wanita tersebut berada di dalam lif seorang diri sebelum lelaki tersebut masuk untuk pulang ke rumahnya di tingkat 16.

Bagaimanapun sejurus mangsa tersebut masuk, wanita berkenaan terus mengeluarkan botol air berisi air panas dan menyimbah lelaki malang itu.

 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, walaupun berstatus OKU, namun mangsa boleh bertutur dengan baik.

“Rawatan di HPP mengesahkan lelaki terbabit melecur di sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan bukan disebabkan simbahan asid tetapi air panas,” katanya ketika dihubungi BuletinTV3.

“Polis sudah mengenalpasti suspek wanita yang disyaki tinggal di kejiranan mangsa namun belum ada tangkapan dibuat.

“Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham,” katanya lagi.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber : Buletintv3