Jururawat Ditemui Tidak Sedarkan Diri Tertiarap di Tepi Jalan

Seorang jururawat yang lengkap beruniform ditemui tertiarap dan tidak sedarkan diri oleh orang awam di tepi jalan dengan keadaan enjin keretanya yang masih hidup.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku di Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, Negeri Sembilan pada Jumaat kira-kira jam 10 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, mereka menerima laporan kira-kira jam 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat wanita tidak sedarkan diri dipercayai dirompak.

“Pihak kami menerima laporan kira-kira jam 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” jelasnya lagi.

Ketika kejadian, mangsa yang juga petugas di HTAN dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Durian Tunggal, Melaka melalui Jalan Dangi.

Bagaimanapun, mangsa memaklumkan dirinya tidak dirompak namun cedera dan luka di bahagian kepada akibat dipukul. Namun, tiada barang peribadi mangsa yang hilang.

Pihak polis masih cuba mendapatkan keterangan mangsa dan menyiasat kejadian sebenar. Mangsa kini masih dirawat di hospital.

Sumber : Sinar Harian