Sorakan penyokong punca kekuatan Harimau Malaya – Menteri Sukan

Sorakan penyokong punca kekuatan Harimau Malaya – Menteri Sukan

TIDAK dinafikan, sokongan penyokong Harimau Malaya memainkan peranan yang penting dalam menyuntik semangat skuad bola sepak negara apabila berjaya menundukkan Bangladesh 4-1.

Perkara itu juga diakui Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi aksi terakhir penuh semangat untuk Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, malam tadi.

Ahmad Faizal dalam masa sama menghargai sorakan berterusan Ultras Malaya yang menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memastikan skuad negara terus mempamerkan aksi cemerlang.

“Malam bersejarah buat bola sepak negara selepas penantian 42 tahun. Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia.

“Teruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal dalam masa sama menzahirkan penghargaan buat peneraju skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang berjaya melayakkan Malaysia ke Piala Asia selepas penantian selama 42 tahun.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia malam tadi, Malaysia mencatat kemenangan selesa untuk mengumpul enam mata bagi tempat kedua di belakang Bahrain seterusnya menempah tiket ke kejohanan itu selaku lima pasukan naib juara terbaik.