Hamid Gurkha meninggal dunia akibat tibi, beberapa komplikasi lain

Hamid Gurkha meninggal dunia akibat tibi, beberapa komplikasi lain

PELAKON komedi legenda, Hamid Gurkha, menghembuskan nafas terakhir di usia 90 tahun akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada jam 2.19 petang ini.

Berita pemergian Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman disahkan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.

Nor Ashita berkata, doktor mengesahkan arwah bapa mempunyai penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.

Arwah dimasukkan ke hospital enam hari lalu, bagaimanapun keluarganya menafikan arwah dalam keadaan tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kami reda atas pemergian arwah.

“Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman dilaporkan hanya mampu terlantar atas katil selepas dijangkiti COVID-19 pada Februari lalu.

Bintang yang dikenali menerusi komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978, dilaporkan tidak pernah menghidap penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan keadaannya yang semakin uzur pada usia menginjak 90 tahun.

Beliau juga pernah membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.

Hamid mendirikan rumah tangga bersama Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957.

Mereka dikurniakan lapan cahaya mata 32 cucu dan 18 cicit.

Sumber: Berita Harian, Astro AWANI