Sekeluarga Kantoi Bungkus Makanan Bufet Keluar Dari Restoran

Foto : Kosmo

HANOI – Satu video tular di media sosial Vietnam memaparkan insiden sebuah keluarga bertengkar dengan kakitangan sebuah restoran bufet kerana mengambil makanan laut untuk dibawa pulang, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Dalam video itu, keluarga yang terdiri daripada seorang wanita pertengahan umur, sepasang suami isteri dan dua kanak-kanak dikesan memasukkan makanan laut ke dalam dua beg plastik yang dibawa bersama.

Apabila menyedari perkara itu, kakitangan restoran tersebut segera memaklumkan kepada keluarga itu berhubung peraturan makanan bufet.

Kakitangan itu menyatakan bahawa makanan dari restoran tersebut tidak boleh dibawa keluar.

Namun, wanita pertengahan umur itu menegaskan bahawa cucunya tidak boleh makan apa-apa makanan dan ia perlu dibawa balik untuk dimasak. 

Sejumlah netizen berasa malu dengan tindakan keluarga itu sementara yang lain mempersoalkan keberanian mereka serta ada yang memberikan komen menyindir.

“Manusia jenis apakah yang mempunyai pemikiran sedemikian? Okay, teruskan dan langgar peraturan,” tulis seorang netizen. – Agensi