OKU Guna Mop Bergaduh Dengan Pemandu Teksi

Foto : Kosmo

SINGAPURA – Satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang bersenjatakan mop lantai bergaduh dengan pemandu teksi di kawasan parkir kenderaan dekat Bok 307, Hougang Avenue, Singapura semalam, lapor laman berita Stomp.

Video itu kini menjadi tular di media sosial Singapura.

Dalam rakaman itu, kedengaran suara yang menyatakan bahawa pemandu teksi tersebut memukul orang kelainan upaya tersebut yang menunggang skuter khas untuk golongan OKU.

Lelaki berbaju corak kotak dan berjalan dalam keadaan tempang itu dilihat berlalu dari lokasi pertelingkahan dengan pemandu teksi tersebut sebelum  dia kembali dengan membawa mop lantai.

Dia kemudian menggunakan pengelap lantai tersebut untuk memukul pemandu yang bertindak balas dengan melepaskan beberapa tumbukan, lantas menyebabkan OKU tersebut rebah.

Bagaimanapun, seorang wanita dan seorang lelaki lain dilihat campur tangan dengan meleraikan pergaduhan kedua-dua mereka.

Menurut polis, pihaknya dimaklumkan mengenai pergaduhan itu.

“Dua lelaki berusia 64 dan 65 tahun mengalami kecederaan ringan tetapi enggan dibawa ke hospital. Kedua-dua mereka kini sedang membantu siasatan polis,” kata polis. – Agensi