24 Murid, Dua Guru Dan Dua Pekerja Kantin Di SK Sungai Tiram Muntah Dan Pening Sebab Terhidu Bau Pencemaran Kimia

Foto : Kosmo

JOHOR BAHRU – Sekurang-kurangnya 24 murid, dua guru serta dua pekerja kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram mengalami muntah dan pening kepala selepas disyaki terhidu bau pencemaran dalam kejadian petang kemarin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd. Salleh Kvp Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.13 petang.

Menurutnya, sebuah jentera EMRS dari BBP Johor Jaya turut dibantu satu jentera Hazmat dari BBP Larkin dengan kekuatan keseluruhan seramai 17 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat mangsa mengalami pening-pening dan muntah.

“PKO bertindak membuat ‘size up’ bagi mencari punca bau pencemaran tersebut. Kesemua pelajar dan guru telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Salleh berkata, PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.

Ujarnya, pukul 8 malam pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja pengesanan di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet.

“Lokasi pertama di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua-lokasi adalah normal,”katanya.

Tambah beliau, pada pukul 12 tengah hari semalam, pasukan HAZMAT membuat pengesanan muktamad dengan menggunakan sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4gas meter di beberapa sektor ditetapkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah membantu membuat saringan awal bagi penduduk yang mempunyai simptom, bagi menentukan keluasan sektor yang akan dibuat pengesanan.

Katanya, pengesanan rad menunjukkan tiada penemuan bahan berbahaya, namun pengesanan menggunakan sigis 2 dan gasmet masih dijalankan.

Fokus utama melibatkan keluasan radius 5 kilometer di sekitar sekolah memandangkan punca bahan masih belum ditemui.

“Pada pukul lebih kurang 6 petang, setelah membuat penilaian di lokasi terdapat peningkatan bacaan methyl mercaptan.

“Ia ekoran berlaku aktiviti pembakaran tanki ibc yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke laluan tali air ke sungai berhampiran.

“Hasil penemuan ini, operasi seterusnya diserahkan kepada pihak JAS Negeri Johor untuk tindakan lanjut,”katanya.

Sumber : Kosmo