Padah mabuk sampai pukul pelayan, individu bergelar datuk akhirnya ditahan

SEORANG individu bergelar ‘Datuk’ bersama seorang lagi rakannya berjaya ditahan pihak polis selepas tular menerusi satu video apabila bertindak menampar seorang pelayan restoran dan seorang lagi pelanggan pada Selasa lalu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang dalam keadaan mabuk dan membuat bising ditegur oleh mangsa sebelum tercetus kekecohan. 

“Berlaku salah faham dan suspek yang berang telah bertindak menyerang mangsa. 

“Suspek bersama seorang lagi rakannya telah bertindak agresif dengan memukul mangsa serta menampar seorang pelayan restoran wanita,” katanya pada satu kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya dikesan pihak polis apabila mereka ditahan semalam di perkarangan Balai Polis Mutiara Damansara. 

Menurut Ezanee, kesemua suspek akan direman hari ini dan esok serta disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. 

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh mencecah sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. 

Baru-baru ini kes tersebut tular di media sosial termasuk tindakan netizen yang mendedahkan alamat rumah suspek.