PANIK punya pasal. Majlis pernikahan merupakan suatu hari yang paling istimewa dalam kehidupan pasangan suami isteri. Pastinya masing-masing mempunyai momen yang akan dikenang hingga ke akhir hayat, lapor portal Oh My Media.
Menerusi satu perkongsian seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun @efficiancee, dia telah memuat naik video semasa suaminya berdepan dengan wali bagi melafazkan akad nikah baru-baru ini.
Apa yang mencuit hati adalah datuk kepada wanita tersebut dikenali sebagai Amira Farra telah tersalah sebut nama adik kembarnya yang mempunyai nama hampir serupa iaitu Amira Sara.
Situasi lucu tersebut membuatkan Amira Farra secara spontan mengipas tangannya memberi isyarat kepada datuk yang dia tersalah menyebut nama pengantin perempuan.
“Bila wali kau umur 84, and kau pulak kembar nama dekat dekat. Ini lah jadinya. Dah jadi kipas dah tangan aku,” ciap pengantin perempuan.
Menurut Farra, walinya sudah berusia 84 tahun dan tersasul menyebut nama adik kembar, Amira Sara memandangkan gadis tersebut duduk bersebelahan dengannya.
Walau bagaimanapun, akad nikah diulang semula dan masing-masing hanya tergelak kecil dan kembali tenang meneruskan majlis tersebut.
Perkongsian lucu tersebut telah viral dan mendapat perhatian netizen. Rata-rata menyatakan rasa terhibur dengan momen terbabit dan sempat mengucapkan tahniah kepada Farra dan pasangan kerana sudah bergelar suami isteri.
Sumber: Oh My Media