Misteri ketukan pintu sudah menular ke Kuala Selangor?

MISTERI ketukan pintu tanpa salam yang sebelum ini menghantui penduduk di beberapa kampung di daerah Sabak Bernam mula ‘merebak’ ke Tanjong Karang dan Kuala Selangor hingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat.

Seorang pekerja Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang menetap di Kampung Parit 3 Sungai Burong di sini diganggu dengan bunyi ketukan di hadapan pintu utama rumahnya kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Anuar Anal, 43, berkata, kejadian didengari semasa dia berada di bilik utama selepas membuang air di tandas.

“Belum sempat melelapkan mata, saya dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah.

“Saya kemudian terus mengintai dari celah bawah pintu dan langsir tingkap, namun tidak nampak bayang sesiapa di depan rumah.

“Dalam hati ada juga terlintas adakah yang ketuk rumah saya pocong seperti yang kecoh di Sabak Bernam?” katanya kepada Sinar Harian.

Pendedahan seorang pengguna Youtube.

Katanya, semasa kejadian, isteri dan tiga anaknya lagi sudah lena tidur dan perkara itu hanya diceritakan keesokannya.

Sementara itu tular di saluran YouTube mendakwa kejadian penduduk ternampak lembaga berpakaian putih berdiri di jalan di Kampung Kuantan awal pagi tadi.

Video berdurasi 0.45 saat itu dimuat naik seorang Youtuber menggunakan akaun nama Pak Nil pagi tadi.

Menerusi deskripsi yang dimuat naik di platform itu menyatakan jiran yang ternampak makhluk menakutkan di atas jalan kemudian menghubungi jiran sebelah rumah.

Video yang mula tular di laman Youtube.

“Jiran sebelah kemudian keluar dari rumah dan nampak kelibat sama sebelum masuk ke dalam rumah.

“Sejurus (jiran sebelah) masuk (semula) ke dalam rumah, pintu (rumah) kena ketuk pula,” katanya.

Sumber: Sinar Harian