Anggota PGA maut ditembak penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, rakan kritikal

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang bertugas di pos sempadan Malaysia – Thailand dilaporkan maut akibat ditembak dalam kejadian awal pagi tadi, lapor Harian Metro.

Komander PGA Briged Udara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang dihubungi mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada pukul 3.10 pagi, membabitkan dua anggota.

Mangsa yang maut adalah Koperal Baharuddin Ramli, 54, sementara rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah.

ANGGOTA PGA yang terkorban, Koperal Baharuddin Ramli. – Gambar kredit: Friends of PDRM

Mayat mangsa dan anggota yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk tindakan lanjut. Keadaan Koperal Norihan dilaporkan kritikal.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dilaporkan dalam perjalanan ke Perlis untuk melawat mangsa dan meninjau keadaan semasa.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataannya berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kedua-dua anggota PGA terbabit yang sedang melakukan tugasan risikan di tempat kejadian tiba-tiba diserang oleh dua kumpulan yang disyaki didalangi warga asing dan tempatan yang sedang melakukan aktiviti penyeludupan di sempadan terbabit.

Sumber: Harian Metro