Lori lebih muatan rempuh struktur pembinaan punca runtuhan – SUKE

INSIDEN struktur jambatan runtuh melibatkan laluan di Lebuh Raya Sungai Besi-Hulu Kelang berhampiran Desa Tun Razak menghala ke Ampang dikatakan berpunca akibat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori treler yang membawa lebihan muatan.

Perkara itu menyebabkan lori berkenaan telah melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) petang tadi.

SUKE dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, lori yang menjadi punca kemalangan itu juga tidak mempunyai kaitan dengan projek pembinaan tersebut.

“Untuk rekod, lori trailer tersebut tidak terlibat di dalam pembinaan lebuh raya SUKE.

“Kemalangan yang berlaku di Lebuhraya MRR2 berhampiran Bandar Tasik Selatan telah menyebabkan kesesakan trafik yang teruk.

“Pasukan bomba sedang berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan,” katanya menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut SUKE, pihaknya akan mengeluarkan beberapa kenyataan lain dari masa ke masa sementara menantikan sebarang perkembangan daripada pihak terlibat.

Setakat ini, difahamkan terdapat lima orang mangsa yang masih terperangkap di bawah sisa runtuhan melibatkan sebuah van kilang.

Operasi mengeluarkan mangsa masih giat dijalankan.