Dua mangsa disahkan maut, tiga terselamat insiden runtuhan struktur pembinaan

DUA maut manakala tiga lagi yang lain terselamat selepas sebuah van yang membawa pekerja kilang dihempap runtuhan struktur tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) petang tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya yang memaklumkan kesemua mereka telah berjaya dikeluarkan malam tadi.

“Usia kesemua mereka lingkungan 30 hingga 45 tahun.

“Dua mangsa maut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala selebihnya merupakan seorang lelaki pemandu van dan dua lagi wanita selamat,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian malam tadi.

Kejadian pada jam 5.58 petang Isnin itu tercetus selepas lori yang membawa lebihan muatan telah merempuh perancah besi sehingga mengakibatkan struktur pembinaan itu runtuh sebelum menghempap van yang memuatkan lima mangsa termasuk seorang pemandu.