Jambatan pembinaan runtuh, lima mangsa terperangkap

SERAMAI lima orang mangsa terperangkap dalam sebuah van kilang selepas terhempap dengan runtuhan jambatan lebuhraya yang masih dalam pembinaan.

Kejadian tersebut berlaku jam 5.58 petang Rabu di Lebuhraya MRR-2 dari Pandan Indah menghala ke Ampang, Kuala Lumpur.

Setakat ini difahamkan operasi mengeluarkan kesemua mangsa masih giat dijalankan pihak bomba.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, operasi melibatkan pasukan dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sungai Besi, Jalan Hang Tuah, Bandar Tun Razak, dan Cheras dikerah ke lokasi kejadian.

Bomba mengerah sebanyak tiga jentera fire rescue tender (FRT) dan dua unit van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bersama kekuatan 23 anggota.