Hina Islam: Baru dibebaskan, Nuramira ditahan JAWI pula, didakwa di Mahkamah Syariah esok

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah selepas dia dibebaskan hari ini.

Siti Nuramira ditahan penguat kuasa JAWI selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Bayaran Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi.

Mengikut prosedur,  JAWI akan menahan wanita itu selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam, R Sivaraj berkata, Siti Nuramira ditahan sebaik anak guamnya bersama peguam menyelesaikan urusan pembebasannya di kaunter berkenaan selepas bayaran ikat jamin dibuat semalam.

“Nuramira ditahan sepasukan pegawai JAWI dan difahamkan dia akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pada esok atau lusa.

“Difahamkan Nuramira ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559),” katanya kepada Berita Harian.

Nuramira dan teman lelakinya V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai pada Isnin.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Sumber: Berita Harian, Malaysia Gazette