Polis Kelantan tahan pemuda hina Islam, didapati positif dadah

berita viral

SEORANG lelaki berusia 35 tahun ditahan polis Kelantan kerana dipercayai memuat naik kandungan video menghina agama Islam pagi Isnin.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, lelaki berkenaan dilaporkan memuat naik video penghinaan melalui laman Facebook dengan nama samaran yang jelas menghina agama Islam dan Nabi Muhammad, lapor Astro AWANI.

Suspek ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang sekitar pukul 11.30 pagi tadi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah Machang.

Menurut Muhamad Zaki, pihak polis menerima laporan berhubung penghinaan agama Islam melalui satu klip video berdurasi 4 minit 14 saat pada jam 9 pagi tadi.

Lelaki itu kemudiannya telah mengaku memuat naik klip video itu selepas disoal siasat oleh pihak polis.

Suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine melalui ujian air kencing dan akan direman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Rakaman suspek menghamburkan kata-kata penghinaan kepada agama Islam yang tular sejak semalam menimbulkan kemarahan dan kegelisahan masyarakat.

Sumber: Astro AWANI