Anggota TLDM kena tampar dengan pesara TLDM sebab salam tak pandang muka, mangsa tarik balik laporan polis

berita viral

GARA-gara tidak memandang muka ketika bersalaman, seorang lelaki bertindak menampar belakang kepala seorang jemaah di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Isnin lalu.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang juga merupakan seorang anggota TLDM selesai menunaikan solat Asar di masjid berkenaan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat mangsa berusia 30-an.

“Mangsa dikatakan bersalaman dengan lelaki yang tidak dikenali sebelum tiba-tiba dia menampar dengan kuat menyebabkan mangsa mengalami sakit pada belakang kepala dan telinga.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalam menyebabkan dia berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku di antara mangsa dan suspek iaitu pesara TLDM di masjid berkenaan selepas selesai solat Asar pada 5.10 petang.

Susulan kejadian itu, kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Hasil rakaman percakapan, mangsa tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan menarik semula laporan polis.

“Kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video tersebut kerana kes ini telah selesai,” kata Nor Omar.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki pukul di dalam sebuah masjid tular di laman media sosial.

Orang ramai juga meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan suspek.

Sumber: Malaysia Gazette, Harian Metro