PENDAKWAH bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew akhirnya muncul dalam satu siaran langsung di laman media sosial miliknya bagi memberi pencerahan dan penjelasan terhadap tohmahan yang dilemparkan mengenai misi kemanusiaan yang dilakukan di Gaza, Palestin baru-baru ini.
Ebit, 37, muncul di laman Instagram dan Facebook miliknya dan menegaskan terpaksa tampil menjernihkan keadaan selepas menerima pelbagai hinaan sehingga ada melampaui batas dengan membabitkan isteri, anak, dan arwah bapanya.
“Saya minta maaf, ada yang gelar saya dajjal, babi dan setan. Macam-macamlah. Saya terluka jugalah.
“Sampai ada yang hantar direct message (DM) pada anak dan isteri. Saya dapat banyak nasihat daripada ramai pihak termasuk mereka yang rapat dengan saya, jadi saya jawab semua persoalan hari ini,” jelas Ebit.
Dia turut menjelaskan dakwaan dana yang dikatakan dibawa dari malaysia ke Gaza.
Malah, Ebit juga mengulas spekulasi yang ditimbulkan penyanyi rap Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Bukan Kerjaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman sebelum ini termasuklah isi wakil Ebit yang tidak membalas mesej yang dikirim Nadir.
“Saya pergi ke sana dengan duit sendiri dan saya tak pernah buka satu tabung pun untuk Gaza. Dari dulu sampai sekarang tak pernah buka apa-apa tabung pun. Ia meruakan duit saya sendiri serta duit beberapa sahabat rapat yang berkawan dengan jujur dengan saya. Rakan Facebook juga ada menyumbang.
“Sebelum pergi, kami buat survey dan tanya semua orang. Dia (Nadir Al-Nury) kata dia bagi proposal. Proposal yang dia bagi cuma quotation harga barang makanan, harga kotak makanan. Satu kotak AS$40, kalau kali empat duit Malaysia, lebih kurang RM160. Tapi saya dapat quotation lain dengan harga AS$20 dengan barang yang sama. Jadi kenapa saya nak ambil yang AS$40? Memang semua orang bagi quotation. Tak semua kita balas. Kalau tuan puan buat bisnes, untuk marah quotation tak diterima bukanlah satu perkara yang wajar.
“Biasa untuk satu barang kita minta quotation dari 30 tempat. Tapi saya tak persoalkan dia letak harga begitu.
Tak balas WhatsApp tu biasalah. Kadang-kadang isteri hantar 10 WhatsApp, suami balas satu je. Kalau isteri pun tak sempat nak balas WhatsApp, orang lain pun janganlah kecil hati,” kata Ebit.
Pelbagai tanggapan terhadap Ebit mula timbul selepas penyanyi rap Caprice tampil membuat pendedahan baru-baru ini, bagaimanapun dia sudahpun membuat permohonan maaf serta membatalkan perancangan siaran langsung bagi menjelaskan kebenaran yang dijadualkan bersiaran malam tadi.
Terdahulu pada malam Selasa, rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman mengejutkan ramai pihak apabila tampil membuat pendedahan mengenai misi Ebit menerusi saluran Telegram miliknya.
Ebit kemudiannya membuat satu laporan polis pada petang Rabu.