Isteri sempat hubungi suami ketika terhempap struktur binaan

SALAH seorang mangsa runtuhan struktur pembinaan di Lebuh Raya Sungai Besi-Hulu Kelang berhampiran Desa Tun Razak menghala ke Ampang sempat dihubungi suaminya ketika masih dalam keadaan terperangkap di bawah sisa runtuhan.

Mangsa, Zakiah Yaakop, 51 tahun merupakan salah seorang daripada lima mangsa yang berada di dalam van berkenaan.

Zakiah yang sempat dihubungi suaminya, Kamarulzaman Awang bagaimanapun memaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun mengalami kesukaran untuk bergerak.

Setakat ini, dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala tiga lagi yang lain telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan termasuk seroang pemandu van berkenaan.

Kesemua mangsa merupakan warga tempatan terdiri daripada lingkungan usia 30 hingga 45 tahun dan mangsa maut merupakan dua wanita yang merupakan pekerja kilang.

Kejadian pada jam 5.58 petang Isnin itu tercetus selepas lori yang membawa lebihan muatan telah merempuh perancah besi sehingga mengakibatkan struktur pembinaan itu runtuh sebelum menghempap van yang memuatkan lima mangsa termasuk seorang pemandu.