Perkhidmatan Microsoft Teams tergendala, pengguna seluruh dunia terkesan

berita teknologi

PENGGUNA Microsoft Teams di beberapa negara mengalami masalah teknikal sehingga gagal menggunakan perkhidmatan itu sejak awal pagi Khamis.

Microsoft juga telah mengesahkan bahawa perkhidmatan mereka mengalami masalah untuk diakses.

Menurut laporan awal, ribuan pengguna di seluruh dunia tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut seperti biasa.

Menjengah ke akaun rasmi Twitter Microsoft 365 Status, mereka sedia maklum dengan masalah yang dihadapi pengguna dan sedang mencari jalan penyelesaian.

Masalah dikatakan berpunca berpunca daripada masalah hubungan dengan storan dalaman mereka.

Trafik sedang dialihkan ke servis yang berfungsi dengan baik dalam usaha mengurangkan ‘kecederaan’ sedia ada.

Antara platform yang juga terkesan ialah Microsoft 365 yang memberi kesan kepada pengguna Microsoft Word, Office Online dan SharePoint Online yang berada di bawah payung Microsoft 365.

Rata-rata pengguna juga turut meluahkan kekecewaan mereka yang gagal mengakses perkhidmatan itu.

Sehingga artikel ini ditulis, masih ada pengguna merungut tentang masalah yang belum selesai.