Kamal Adli cedera diserang dengan cota di Singapura, selamat jalani pembedahan

PELAKON Kamal Adli yang cedera apabila diserang oleh seorang lelaki di Singapura lewat malam tadi selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital pada Isnin.

“Alhamdulillah Kamal dah sedar…harap semua doakan keselamatan kami,” jelasn isterinya Uqasha Senrose menerusi akaun Instagram.

Dalam kemaskini IGnya lewat malam tadi, Uqasha memaklumkan Kamal, 37, diserang menggunakan cota berkali-kali oleh seorang lelaki di kepala, muka dan badan.


Tanpa mendedahkan hospital Kamal ditempatkan, Uqasha berkata Kamal menjalani “major operation” berikutan kecederaan di bahagian kepala yang agak teruk.

Beliau dan suami menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan turut memohon peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan suaminya.


Mereka berdua berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023 selama tiga hari bermula Jumaat yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.

Menurut Uqasha, kejadian berlaku di akhir acara itu berlangsung. Uqasha turut berkongsi beberapa keping gambar selepas kejadian yang menimpa suaminya, bagaimanapun suspek tersebut telah ditahan pihak berkuasa.

Memetik jurucakap polis Singapura, media tempatan melaporkan pihak polis menerima panggilan tentang satu pertelingkahan yang berlaku di Singapore Expo.

“Seorang lelaki 37 tahun masih sedarkan diri apabila dibawa ke hospital. Seorang lelaki 34 tahun selanjutnya diberkas berhubung dengan kes itu. Siasatan masih dijalankan,” polis dilaporkan berkata.
Dianjurkan Megaxpress International, Hari Raya Mega Sale turut menampilkan beberapa artis dari Malaysia.

Pasangan popular Kamal dan Uqasha antara selebriti Malaysia yang sentiasa mengikuti acara sebegini di Singapura.

Terdahulu, sebuah video yang memaparkan Kamal Adli sedang dirawat di sebuah pusat rawatan dan ditemani Uqasha Senrose telah dikongsikan oleh teman artis mereka, Didie Alias menerusi Instagram beliau.

Video tersebut yang asalnya dirakam oleh pengacara, Roslan Shah, menunjukkan doktor yang merawat Kamal sedang memaklumkan kepadanya bahawa kecederaan yang dialami dijangka akan sembuh dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, ketika wartawan menghubungi Didie, beliau telah menjelaskan yang Kamal dan Uqasha berada di Singapura untuk memenuhi undangan ke sebuah acara di sana sebelum Kamal tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Dia kena serang dengan seorang lelaki. Cik Lan (Roslan) yang bawa dia ke hospital.

“Sekarang ni Sha (Uqasha) ada di balai polis dengan Cik Lan untuk buat laporan,” beritahu Didie kepada Boom!

Walau bagaimanapun, Didie juga menjelaskan yang dia belum mengetahui maklumat terperinci mengenai kejadian yang menimpa aktor terbabit.

Sumber gambar – Instagram | Sumber laporan Boom!