Radhi OAG Tunggu Kekasih Habis Belajar, Baru Nikah Untuk Kali Ketiga

PENYANYI kumpulan OAG, Radhi merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang berusia 22 tahun itu sebaik saja gadis itu menamatkan pengajian di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) nanti.

Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 46, berkata, setakat ini hubungannya dengan kekasih berjalan lancar sejak lebih dua tahun lalu.

“Saya tidak boleh bercinta seperti zaman muda dulu kerana kali ini, saya mahu bercinta kerana Allah SWT. Ada juga yang bertanya kenapa saya memilih gadis muda sebagai calon isteri, bagi saya ia soal jodoh.

“Apapun, saya mahu kekasih tamat belajar dulu dan pada masa sama, saya juga mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan stabil dari segi kewangan untuk kembali berumah tangga,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya perancangan perkahwinan lagi, kata Radhi, dia mahukan perkahwinan kali ketiga itu nanti akan berkekalan.

“Saya sudah dua kali gagal dalam perkahwinan dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama lagi. Terus terang, saya berasa bersalah dengan dua bekas isteri dan anak-anak kerana keruntuhan rumah tangga yang lalu,” katanya.

Mengenai soal penjagaan anak pula, kata Radhi, hubungannya dengan tiga anak juga baik walaupun selepas perceraian.

“Anak dari perkahwinan pertama sudah berusia 18 tahun. Manakala, dua lagi anak dari perkahwinan kedua, Nur Aishah, 8; dan Muhammad, 7. Aishah dijaga neneknya dan Muhammad kini dalam penjagaan saya.

“Muhammad sangat rapat dengan saya, kalau makan atau minum, dia akan tinggalkan separuh untuk saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Tempatan Fest di Lobang, Seksyen 12, di sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes pertuduhan memukul dan mencederakan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 29, Radhi memberitahu dia akan ke mahkamah untuk perbicaraan kes itu pada 21 Jun ini di Mahkamah Petaling Jaya.

“Saya mahu tutup kes ini secara baik dan saya harap bekas isteri juga menarik semula kes ini dan berlapang dada,” katanya.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro