LIMA Diharap Beri Kejayaan Berterusan Kepada Negara – PM

Foto : Kosmo

Penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) yang melabuhkan tirainya semalam diharap akan terus membawa kejayaan kepada negara sekali gus kekal membawa pulangan berganda meliputi pelbagai sektor.

Harapan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran pada Facebook berhubung penganjuran pameran antarabangsa tersebut.

“Semestinya besar harapan agar LIMA’23 akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim sekali gus merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.

“Semoga acara LIMA kali ini dan seterusnya beroleh kejayaan malah, kekal membawa pulangan berganda meliputi sektor ekonomi, perdagangan, pertahanan dan keselamatan,” katanya hari ini.

Penganjuran LIMA’23 berjaya mencatatkan nilai urus niaga berjumlah RM17.6 bilion dan daripada jumlah itu, Kementerian Pertahanan merekodkan RM10.128 bilion membabitkan 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima dan dua surat niat, termasuk penerimaan aset pertahanan baharu.

Dalam masa sama, Kementerian Pengangkutan bagi sektor komersial pula mencatatkan urus niaga sebanyak RM7.5 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik berkata, ia merupakan kejayaan daripada segi padanan perniagaan dengan nilai yang sangat tinggi. 

Sumber : Kosmo