Bunga Isme Teruja Bakal Buat Persembahan ‘Opening’ Konsert Coldplay November Ini

PENYANYI, Bunga Isme, 23, terkejut dipilih untuk membuat persembahan pembukaan di konsert Coldplay pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Bungai atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Bakhari berkata, dia akan membuktikan dia mampu berikan persembahan membanggakan walaupun tahu ada yang mempertikaikan kenapa dia dipilih.

“Berita dapat jadi artis pembuka Coldplay itu sudah dua bulan saya terima. Bila dapat tahu berita itu, semestinya saya terkejut sebab tak tahu bila masa pula dan bagaimana mereka pilih.

“Kita membesar dengan lagu-lagu Coldplay. Saya tahu persembahan dan penguasaan pentas mereka sangat-sangat bagus. Ramai peminat pasti datang pada konsert itu nanti.

“Sebab tak ramai kenal dan mempertikaikan kenapa saya (dipilih). Jadi saya kena buat yang sehabis,” katanya.

Katanya, untuk beraksi di depan 85,000 penonton nanti, tekanan itu pasti ada.

“Saya akan buat persiapan dan persediaan dengan baik. Memang teruja sangat-sangat dan berdebar. Saya akan beraksi dengan band sendiri.

“Saya cuma berharap muzik kita dapat didendangkan kepada orang luar terutama Coldplay. Selain itu memperkenalkan budaya kita serta meluaskan lagi muzik saya kepada ramai orang,” katanya.

Bunga berkata, buat masa ini dia masih perlu beri tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu sebelum lakukan persiapan rapi untuk persembahan itu kelak.

“Persiapan setakat ini baru dapat kumpulkan band. Raptai dan kelas vokal belum buat lagi sebab saya di hujung-hujung semester (belajar). Banyak projek akhir dan peperiksaan.

“Insya Allah lepas Aidiladha atau bulan depan, saya akan fokus 100 peratus kepada persembahan untuk Coldplay,” katanya.

Sumber gambar – The Star| Sumber laporan – Harian Metro