Viral warga Bangladesh culik budak, rupanya pergi beli barang

POLIS menafikan kes culik melibatkan seorang remaja perempuan yang didakwa cuba dilarikan oleh dua lelaki warga Bangladesh yang tular di laman sosial Facebook pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesahkan tiada kes culik seperti yang ditularkan sebelum ini.

“Siasatan dijalankan mendapati remaja perempuan tersebut keluar bersama dua lelaki warga asing itu yang merupakan rakan ibunya untuk membeli barang.

“Remaja perempuan tersebut juga kini disahkan bersama keluarganya,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak sewenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.

“Tindakan akan diambil kepada individu yang menyebarkan perkara tidak benar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sumber: Sinar Harian