Pengubat rindu, Sheila Gank harap Sheila On 7 buat konsert online sempena ulang tahun ke-25

SUDAH 25 tahun berada dalam industri, namun band terkenal dari Indonesia, Sheila On 7 (SO7) tidak pernah membuatkan pendengar bosan dengan lagu mereka.

Semalam, 6 Mei merupakan tarikh ulang tahun perak bagi SO7 dan mereka mengubati rindu para peminat dengan beberapa sedutan video lagu mereka sejak awal kemunculan sehingga kini di Instagram. Lagu yang dimulakan dari tahun 1999 telah digabungkan menjadi sebuah video, apa yang menarik video tersebut adalah sedutan kenangan dari setiap konsert mereka.

Ungkapan yang ditulis pada kapsyen adalah, “It’s been 25 years, and still counting“. Hal ini membuatkan peminat SO7 iaitu SheilaGank lebih emosi kerana mereka ingin menyaksikan band ini dalam sebuah konsert pada masa akan datang.

Sedutan klip dikongsi Sheila On 7 sempena ulang tahun ke 25

Sempena 25 tahun Sheila On 7 juga menyanyikan beberapa buah lagu secara langsung di InstaLive iaitu lagu Hari Bersamanya, Saat Aku Lanjut Usia, Temani Aku dan Film Favorit.

Mereka juga turut berbual tentang kehidupan yang dijalani masing-masing semasa pandemik dan berbincang tentang hal puasa di bulan Ramadan. Di ruangan komen, ada peminat yang bertanya sama ada mereka akan mengeluarkan single atau album dalam masa terdekat.

“…buat masa sekarang memang lagi ngak ada sebarang rencana untuk mengeluarkan album atau pun single terbaru…”, kata Duta.

Tambahnya, “kami berterima kasih kepada SheilaGank kerana sudah menyokong selama 25 tahun dan apa pun sepanjang 25 tahun ini kami seronok dan bersyukur kerana Allah sentiasa memberi rezeki”.

Walaupun semasa pandemik ini adalah sesuatu hal yang tidak mungkin untuk mengadakan konsert, akan tetapi SheilaGank berharap dan meminta SO7 untuk mengadakan konsert secara online.

Dalam pada itu, meskipun pelantun lagu Sephia ini jarang melancarkan lagu baru. Namun, persembahan mereka di luar layar televisyen masih laris dan dihadiri oleh ramai orang kerana lagunya yang bersifat universal dan sesuai dengan setiap golongan usia.

Selain itu, kumpulan muzik yang menjadi ‘lagenda’ bagi remaja pada era 2000-an ini juga masih mendapat banyak royalti dari lagu-lagu lamanya yang sering diulang nyanyi oleh penyanyi lain. Sebagai contoh, Gamaliel Audrey Cantika yang menyanyikan semula lagu Seberapa Pantas bagi drama Siapa Takut Jatuh Cinta.

Sementelahan, anggota Sheila On 7 juga dicintai oleh ramai orang kerana mereka dikatakan sangat setia. Meskipun di luar sana sudah banyak band yang telah bubar kerana memilih kerjaya solo. Eros, Duta, Adam dan Brian dilihat masih bersama-sama sehingga hari ini walaupun Anton dan Sakti telah memilih jalan hidup yang lain.