Zii Jia digantung 2 tahun

PEMAIN perseorangan lelaki negara yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia, Lee Zii Jia digantung daripada terlibat dengan sebarang perlawanan antarabangsa selama dua tahun apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak mendaftarkan dia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 18 Januari.

Penggantungan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu sidang media pada Jumaat.

Jelas Jahaberdeen, selepas menerima surat peletakan jawatan daripada pemain berusia 23 tahun itu pada 11 Januari lalu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memujuk Zii Jia mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Bagaimanapun, katanya, Zii Jia  kekal dengan pendiriannya dan memberikan dua alasan iaitu dia tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dalam skuad kebangsaan selain gaya hidup yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Ketika dalam salah satu perbincangan bersama jawatankuasa, Zii Jia meletakkan syarat baru bagi meneruskan kerjayanya bersama BAM. Selepas perbincangan panjang dilakukan, BAM memutuskan untuk menolak syarat berkenaan.

“Selepas perbincangan secara menyeluruh dilakukan, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari,” katanya.

Sementara itu, BAM turut memutuskan untuk tidak mendaftarkan bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Jahaberdeen, berkata selepas Jin Wei yang juga bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara menyatakan hasrat untuk bersara, BAM memujuknya untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Sumber: Berita Harian